PUTRAJAYA - Bateri rokok elektronik atau vape milik seorang penumpang terbakar secara tiba-tiba di dalam pesawat Malindo Air ketika penerbangan ke KLIA 2 dari Kota Kinabalu.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.45 petang semalam, penumpang dan kru pesawat dikejutkan dengan kejadian yang tidak disangkakan itu namun keadaan berjaya di kawal.
Kebakaran kecil itu berlaku semasa pemilik vape itu sedang leka menonton tayangan video di di paparan skrin tempat duduknya. Vape yang diletakkan dalam begnya di atas pehanya tiba-tiba terbakar menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan di peha dan lengan kiri.
Tindakan pantas kru pesawat berjaya mengawal kebakaran dan pesawat Boeing 737-800 itu selamat mendarat di KLIA pada jam 8.44 malam.
Sejurus mendarat di KLIA2, mangsa membuat laporan polis. Sehingga ke saat ini, Malindo Air belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kejadian itu.
Di media sosial, netizen pula mencadangkan agar vape diharamkan dibawa ke dalam pesawat kerana bimbang dengan keselamatan para penumpang yang lain. - THEHYPEMEDIA