Slider[Style1]

Style2

Style3[OneLeft]

Style3[OneRight]

Style4

Style5

'Nak, Tolong Ambil RM400 Dalam Akaun Bank Pakcik'


Baru saja sebentar tadi aku jalan nak beli barang, aku terserempak dengan pakcik ini. Aku ingatkan dia nak jual tisu, jadi aku terus turun dari kaki lima sambil tangan dah seluk dalam beg nak cari duit.

Bila sampai saja ke tempat dia, dia keluarkan kad bank dan nombor pin bagi, nak minta tolong aku keluarkan duit.

Ya Allah! Dari tadi dia tunggu-tunggu tengah panas rupanya menunggu orang untuk membantu dia rupanya.

Aku tanya berapa jumlah wang yang pakcik ini nak keluarkan. Dengan pelat-pelat cakap yang aku tak faham dan jari menunjukkan angka empat, aku tanya, "RM400 ke pakcik?". 

Dia mengangguk-angguk. 

Aku terus ambil kad dan terus ke bank terdekat. Dalam hati terdetik, kalau tak ada duit dalam bank pakcik ini, di tangan aku ada dalam RM200. Mungkin aku boleh bagi RM100 pada dia. 

Bila aku semak baki akaun bank dia, rupa-rupanya hanya berbaki RM450 sahaja. Jadi, betullah dia memang nak suruh aku keluarkan RM400. 

Semasa aku serahkan wang itu kepada dia, terdengar dia cakap "Terima kasih,". Aku angguk faham dan kawan aku di sebelah menangis-nangis kesedihan.

Mana anak pakcik ini? Kenapa biarkan dia datang ambil duit di bank tak berteman? Kalau orang lain yang dia minta tolong, aku tak tahulah selamat ke tidak kad bank dia dan nombor pin serta duit dalam akaun bank itu.


Anak-anak, pimpinlah ayah datang ke bank. Jangan sampai ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kepada ayah awak. Kasihan dia tengah-tengah panas terik ini datang seorang diri.

Nak menangis mengigil aku tengok pakcik ini tadi sebab dia kurang upaya dan dia menunggu secara rawak sesiapa saja yang ada untuk membantu dia. 

Aku yang kaki OKU sementara ini pun terkedek-kedek nak naik turun kaki lima rasa penat dan lelah. Apatah lagi pakcik ini yang hakikatnya tak boleh bangun langsung dari kerusi roda elektrik itu.

Aku cuma boleh berdoa semoga pakcik ini selamat sampai ke rumah. Amin.

Miss Jiha Yhy, please lap air mata awak itu, ramai orang pandang pada kita. Nanti ada yang tersalah tafsir cakap diriku menderamu. - NOR FITRI EMA

Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM

10 Tabiat Biadab Orang Malaysia


1. Memandu secara melulu & membahaya seperti menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat kanan/kiri dan membunyikan hon dengan sewenang-wenangnya hanya kerana ini cepat sampai ke destinasi.

2. Tidak mematuhi papan tanda - Makan di dalam LRT, merokok di kawasan larangan merokok, membuang sampah di merata-rata, serta meletakkkan kereta di zon larangan letak kereta.

3. Merampas tempat letak kereta yang telah ditunggu oleh pemandu kereta yang lain dan parkir di tempat khas untuk golongan OKU.

4. Tidak memberikan tempat duduk kepada mereka yang lebih memerlukan seperti wanita mengandung dan orang tua dalam pengangkutan awam.

5. Tidak membenarkan atau memberi laluan keluar kepada penumpang pengangkutan awam sebelum masuk.

6. Bercakap dengan suara yang kuat di telefon bimbit di tempat awam seperti di pawagam.

7. Tidak menahan pintu terbuka atau pintu lif untuk orang yang masuk selepas mereka.

8. Tidak mengucapkan 'Terima Kasih' apabila seseorang melakukan sesuatu yang baik untuk anda. 

9. Tabiat buruk seperti meninggalkan troli pasaraya di tempat letak kereta, mencangkung di tandas duduk / mengotorkan tandas awam.

10. Kerap lewat

Nota Kaki: AirAsia selalu lewat.. camne tu? Hehe!

'Sia-Sia Aku Berkorban 25 Tahun Untuk Dapatkan Kasih Sayang Dari Ayah'


DARI KIRIMAN PEMBACA:

Aku rasa sia-sia sangat. Selama 25 tahun aku cuba ambil hati ayah. Selama 25 tahun itulah aku cuba membuktikan yang aku sayang pada ayah.

Selama 25 tahun ayah.. 

Ayah maki aku, pukul aku, seksa jiwa raga aku. Ya, mungkin aku silap yang mana aku buat perangai memberontak hanya semata-mata mahukan perhatian dari ayah. Sehinggakan aku pernah cuba nak membunuh diri.

Umur 11 tahun! Umur 11 tahun aku ikat tali di lampu dan panjat serta gantung diri sebab aku tak tahan dihina oleh ayah.

Aku terseksa setiap kali aku cuba bercakap dengan ayah, dibalas pula dengan pandangan hina pada aku. 

Tapi, Allah masih sayangkan aku. Allah panjangkan umur aku, tali itu terputus. Sejak dari peristiwa itu, aku kerap keluar masuk bilik kaunseling. 

Apabila tibanya Hari Bapa, aku selalu bagi hadiah. Tetapi hadiah yang aku diberikan, semua ayah buang. Aku hanya mampu melihat sahaja. 

Bila aku sudah dewasa, ayah benci melihat muka aku. Aku nekad, aku mahu keluar kerana aku tahu ayah benci pada aku. Sampailah masa ibu memanggil aku pulang dan tinggal bersama dengannya. 

Aku pulang ke rumah ibu, aku tahu ayah tak suka. Tapi aku tak faham kenapa ayah tak nak aku dengan duduk dia.

Sampailah ayah sakit, aku jaga ayah, aku masak, aku siapkan segala keperluan ayah. Aku urut kaki ayah setiap kali balik kerja walaupun penat, walaupun tangan aku tengah sakit, aku gagahkan juga untuk mengurut ayah.

Aku cuba melupakan segala apa yang telah ayah buat pada aku. Tetapi, setiap kali ayah ada masalah dengan ibu, ayah jadikan aku sebagai alasan dan sasaran untuk melepaskan kemarahan.

Terbaru, ayah block aku dari WhatsApp hanya kerana bergaduh dengan ibu kerana sebuah kereta?

Aku selalu menjadi mangsa ayah untuk menutup segala kesalahannya. Aku faham ayah tak nak aku jadi keluarganya. Ayah nak aku keluar dari keluarga ini kan? 

Tapi sayang, Allah tak tarik lagi nyawa aku. InshaAllah aku tunaikan (permintaan ayah). Aku cuba usahakan untuk keluar dari rumah. Cuma kali ini, aku berharap aku tak akan kembali dan tidak merosakkan hubungan kamu sekeluarga. 

Cuma satu aku nak tahu apa sebenar-benarnya salah aku? Aku rasa sia-sia sahaja pengorbanan aku selama 25 tahun ini hanya untuk mendapat kasih sayang seorang ayah. - Liya Elina

Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM

'Anak Aku Hampir Diculik Di Mahkota Parade Melaka!'


Apa yang aku nak cerita ini, mungkin panjang lebar tetapi aku nak kongsikan juga pengalaman aku hilang anak.

Please alert bagi sesiapa yang ada anak berusia 2 - 3 tahun ke atas. 

Please! Please! Please! 

Kalau ke mana-mana di mana-mana anda pergi, anak jangan sesekali terlepas dari tangan atau pandangan. Perkara yang aku dengar, baca di sana sini sudah terjadi pada aku sendiri. 

Perkara ini terjadi di dalam Mahkota Parade, Melaka. Aku pergi bercuti dalam tiga buah keluarga. Sebelum nak balik, kami semua bersetuju untuk singgah beli apa yang patut. 

Anak aku, Sofea, dia ini rapat dengan sangat-sangat dengan Wawan dia (ibu aku). Jadi dia didukung oleh neneknya. Setibanya di mall, nenek turunkan dia dan pegang tangan dia sepanjang jalan sampailah ke satu kiosk, kami berhenti.

Di kiosk itu ada menjual pelbagai macam biskut. Jadi, Sofea nak biskut, ibu aku belikan dan bayar. Pada masa itu, ibu lepaskan tangan dia. Suami aku pula sibuk juga nak membeli.

Tak sampai lima minit, kami baru tersedar yang Sofea tiada berdekatan dengan kami. 

Aku, mak budak, hati mana yang nak tenang bila ditanya pada semua mana Sofea, semua jawab tak tahu. 

Semua mula mencari Sofea. Aku dengan mendukung adik Sofea, aku hulur pada nenek yang paling dekat dengan aku. Bersungguh-sungguh aku berlari mencari Sofea.

Seorang demi seorang beritahu yang mereka perasan ada seorang budak perempuan pakai reben hitam berjalan melulu pergi ke pintu keluar. 

Mulut aku tak berhenti menjerit-jerit memanggil nama Sofea. Aku dah tak fikir apa yang orang nak kata apa. Kepala lutut aku dah mengigil, mata aku dah berkaca, hati aku dah menangis. 

Tiba di pintu luar, aku tak nampak pula bayangan anak aku sampailah mata aku tertumpu pada sekumpulan perempuan dan salah seorang daripada mereka menunjuk ke arah aku dan terus melambai aku.

Aku nampak Sofea dengan salah seorang daripada mereka. Sofea senyap dan tidak menangis. Siapa yang kenal anak aku, dia bukan jenis budak yang nak ikut-ikut orang yang tidak dikenali. Kalau orang tegur pun, dia akan menjerit. 

Tetapi pada masa itu, bila aku cuba ambil dia dari wanita itu terus aku bertanya "Sofea pergi mana?". Satu jawapan pun tidak diungkapkan dari mulutnya. Sehinggalah aku tepuk muka dia tiga kali, Sofea tenung tajam pada aku terus sebut "Mama!" dan menangis. 

Menurut wanita itu, Sofea berjalan melulu mengikut seorang wanita Cina berusia lingkungan 40'an. Curiga dan tidak sedap hati dengan keadaan itu, wanita terbabit terus menarik tangan Sofea. Wanita Cina itu pula menoleh ke arah mereka dan terus lari keluar dari mall.

Mungkin Allah dah hantar orang untuk menyelamatkan Sofea. Mungkin Allah dah gerakkan hati dia untuk tolong Sofea menyebabkan dia terus menarik anak aku cepat-cepat dan dukung.

Syukur, tak terbalas budi wanita penyelamat Sofea. Katanya, Sofea juga pada masa itu seperti dalam keadaan tidak sedar. Bila ditanya pelbagai soalan, Sofea juga tidak menjawab sehinggalah aku sampai di tempat kejadian itu.

"Terima kasih kepada kakak dan kawan-kawan dia yang prihatin dan terima kasih kepada Allah yang masih nak menolong aku,".

Apa yang aku nak cakap ialah, Sofea mungkin telah dipukau berdasarkan keadaan dia ketika ditemui. Aku kenal anak aku 200%, tak mungkin dia nak ikut sesiapa dan jalan tak tentu arah. Anak aku jenis penakut, kuat menangis, kuat menjerit. 

Tolong ye, jangan ambil mudah dengan apa sahaja yang kita buat di mana-mana pun anda berada. Peka dengan keadaan sekeliling. Sekarang, penjenayah tak perlu culik dengan kasar, dengan cara halus pun mereka boleh buat. - Nurul Suhaimi

Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM

Bibik Lari, Tinggalkan Bayi 3 Bulan Bersendirian Di Rumah


Seorang pembantu rumah warga Indonesia, melarikan diri dari rumah majikannya dan meninggal bayi berusia 3 bulan bersendirian di rumah.

Mangsa, Fara Mustapa, memuat naik gambar-gambar pembantu rumahnya di laman Facebook.

"Assalamualaikum, mohon jasa baik rakan-rakan jika terlihat gadis warganegara Indonesia berusia 25 tahun. Sila maklumkan segera di talian 013-3833899.


"Beliau telah melarikan diri dari rumah dan meninggalkan bayi saya berusia 3 bulan seorang diri serta mencuri beberapa jumlah wang dan barang-barang berharga. 

"Waktu melarikan diri sekitar jam 1 petang, 26 Ogos 2015. Beliau mungkin masih beradad di kawasan sekitar Shah Alam atau Klang," kata Fara yang memohon orang ramai menyebarkan gambar-gambar gadis itu.

Fara juga mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan gadis itu kerana suspek sangat bijak berdrama dan meraih simpati.

Orang ramai dinasihatkan agar memilih pembantu rumah yang boleh dipercayai agar tidak berlakunya kes seumpama ini. Juga diingatkan agar tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menjaga anak atau bayi anda kepada mereka. - THEHYPEMEDIA.COM

Ibu Kecewa Minta Bantuan Anak Sakit Tapi Dapat Mesej Lucah Sebagai Syarat Untuk Dibantu


Seorang ibu melahirkan rasa kecewanya selepas menerima beberapa mesej lucah daripada individu tidak dikenali yang cuba mengambil kesempatan terhadapa masalah yang dihadapinya.

Artikel yang pernah kami siarkan mengenai ibu berkenaan yang memohon sumbangan untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung untuk merawat anaknya yang menghidapi penyakit kronik terpaksa mendedahkan nombor telefon untuk memudahkan perhubungan dengan orang yang ingin membantu.

Tetapi ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengambil nombor telefon berkenaan dengan menyatakan ingin membantu tetapi perlukan 'balasan' yang tidak munasabah.

"Pada mulanya dia sms cakap nak beri bantuan tapi selepas itu saya tanya dia nak apa?."

"Saya memang terkejut apabila dia meminta saya melakukan aksi lucah dan jika saya melakukan perkara berkenaan dia akan masukkan wang bantuan, nasib saya tidak mempunyai telefon canggih, kalau tidak entah gambar-gambar pelik apa dia hantar" cerita ibu berkenaan dan terus tidak membalas sms tersebut.

Berikut adalah mesej yang dihantar kepada ibu berkenaan.






Apa yang admin boleh cakapkan ia sememangnya perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana mengambil kesempatan dengan kesusahan orang lain.

Kata-kata ibu itu buatkan admin sendiri rasa saya, katanya "saya hendak minta bantuan supaya anak saya cepat sembuh bukan minta untuk jual badan."

Apapun laporan pihak polis telah dibuat dan harap pihak polis dapat melakukan tindakan terhadap individu ini dan dihukum dengan setimpal.


'Dia Bukan Komando, SB Atau Detektif, Tetapi Dia Contoh Terbaik Untuk PDRM'


THE SMILING POLICEMAN

Aku tak tahu nama penuh dia. Nombor badan apatah lagi. Tetapi kami memanggilnya 'Fazli Polis'. 

Dia sentiasa ada untuk kami. Dia berikan nombor telefon bimbit peribadinya kepada kami semua. Hubungi saja, 24 jam sentiasa ada. Apa saja nak diadu sama ada mengenai keselamatan, jenayah, Negro bertekak, suami isteri bergaduh, mat rempit memekak dan sebagainya, dia akan muncul.

Kalau tidak bertugas, Fazli dengan berselipar Jepun pun tetap akan datang. Paling tidak pun, dia akan panjangkan maklumat pada balai berhampiran atau rakan setugasnya.

Malam tadi, ketika sedang berehat sebentar di restoran untuk menghilangkan dahaga di tekak, Fazli yang sentiasa tersenyum dan sangat 'humble' ini sempat mempromosikan Hari Bersama Pelanggan antara IPD Petaling Jaya dengan orang ramai secara bersantai dan bersahaja. 

Selesai ceramah ringkas, dia meminta izin untuk memandu MPVnya untuk menyambung kembali rondaan.

Fazli bukanlah anggota Komando 69 yang pandai bermain dengan senjata. Dia juga bukan SB yang pintar mengumpul maklumat. Juga bukan detektif yang lasak dan pandai menyiasat. Namun dia adalah antara contoh terbaik anggota polis yang mampu mengangkat martabat dan nama baik PDRM di dalam komuniti.

Serius, inilah kualiti anggota polis yang masyarakat mahukan. Tidak kekok bergaul dengan orang awam, ramah dan dalam pada masa yang sama dia juga tegas menunaikan tanggungjawabnya.

Tahniah kepada PDRM secara amny dan IPD Petaling Jaya khususnya. Aku percaya, kita tidak akan ketandusan anggota polis seperti anak muda ini.
RESPECT!

SYAHRIL A. KADIR

Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM

'Saya Amat Malu Dengan Sikap Malas Isteri Saya'



Rumah tangga dan persekitaran yang bersih bagaikan taman bunga yang segar, menjanjikan ketenangan kepada penghuninya.

Pun begitu tanpa kerajinan, segala yang diinginkan itu tidak akan berlaku. Tambahan pula, bagi mereka yang bekerja dan tidak punya waktu untuk membersih serta menghias rumah agar sentiasa sedap dipandang mata.

Saiz rumah juga bukan ukuran tetapi kebersihan akan membezakan segalanya. Ramai yang impikan ketenangan di dalam rumah setelah penat berada di luar tetapi tidak semua kita yang berpeluang untuk mengecapinya.

Tugas menguruskan rumah tangga adalah amanah yang dianugerahkan kepada suri rumah atau pembantu rumah. Tetapi adakah semua isteri sanggup berbuat demikian?

Jawapannya ada pada kisah yang ingin diceritakan Zaidi, yang kini makan hati dengan sikap isteri nya yang tidak pandai mengurus rumah tangga.

Menurut Zaidi, isteri orang lain juga bekerja dan penat tetapi mereka masih ada masa untuk menguruskan rumah dan menjaganya supaya bersih sentiasa.

Sayang sekali isterinya seorang yang pemalas dan ini menjadi masalah besar kepada Zaidi sehingga dia melabelkan isterinya Aida (bukan nama sebenar) sebagai seorang yang pemalas.

"Saya telah mendirikan rumah tangga dengan Aida sejak 10 tahun lalu. Kami mempunyai tiga orang anak berusia 7, 8 dan 9 tahun.

"Rumah kami sederhana sahaja luasnya. Kami tidak mempunyai pembantu rumah kerana anak-anak dihantar ke rumah ibu mentua saya selepas mereka balik sekolah.

"Isteri pula bekerja dan balik ketika hari menjelang senja. Saya mengharapkan isteri mempunyai masa untuk mengemas rumah atau memasak setiap kali balik kerja.

"Bukan masakan yang hebat-hebat yang saya perlukan, cukup sekadar mengalas perut kami anak beranak. Sayangnya apa yang saya harapkan tidak berlaku.

"Setiap hari keadaan rumah tidak berkemas, pakaian yang dibasuh bersepah-sepah tidak berlipat. Pinggan mangkuk penuh sinki. Pendek kata kesemuanya menunggu hujung minggu untuk dibersihkan.

"Bayangkan dalam tempoh itu bagaimana keadaan rumah dan baunya yang busuk setiap kali saya balik kerja. Hendak melangkah rasanya berat kaki. Hendak minum air juga tidak tertelan.

"Hendak mengharapkan anak-anak mereka masih kecil. Isteri pula asyik mengadu penat dan mahu berehat. Makanan setiap malam dibeli dari restoran berhampiran.

"Saya mampu mengambil pembantu rumah tetapi dihalang oleh isteri dengan alasan tidak perlu sebab dia boleh lakukan.

"Sayangnya dia hanya berkata tetapi tidak disertakan dengan tindakan. Sudahnya keadaan rumah tetap begitu juga. Apabila ditegur, dia melenting dan merajuk.

"Saya sudah puas menasihatinya tetapi dia tetap macam itu, tidak ada perubahan. Sikap malasnya semakin menjadi-jadi. Rumah kami sudah seperti sebuah setor barangan terpakai.

"Masa yang berkualiti di rumah tidak dimanfaatkan untuk membereskan kerja-kerja rumah yang sepatutnya tetapi lebih banyak meluangkan masa di rumah ibunya dan anak-anak juga dibawa ke sana.

"Saya tidak menghalang mereka ke sana tetapi saya berharap dia akan tolong kemas rumah dan sempurnakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu terlebih dahulu.

"Saya amat malu dengan sikap malas isteri saya itu sehinggakan kami menjadi bahan ejekan jiran-jiran dan saudara mara yang datang. Keadaan itu menjadikan saya malu untuk menjemput saudara mara atau kawan-kawan ke rumah.

"Saya seorang yang pembersih dan suka rumah yang cantik dan bersih. Saya telah dididik menjaga kebersihan rumah sejak kecil. Ibu seorang yang rajin mengemas rumah.

"Rumah kami sentiasa bersih. Ibu seorang yang sangat mementingkan kebersihan dan saya bangga mempunyai ibu yang rajin dan pembersih.

"Namun semua itu tinggal kenangan kerana saya telah berkeluarga dan sayangnya suasana sebegitu tidak lagi dapat saya kecapi.

"Saya kesal kerana isteri tidak mengambil berat teguran saya malah sepatah saya kata sepuluh yang dia jawab sehinggakan saya ada kala hilang sabar.

"Paling saya malu kerana kami tinggal di kawasan perumahan mewah yang sepatutnya menjadi teladan kepada orang lain. Ini tidak, dibandingkan dengan rumah orang lain, rumah saya paling buruk dan tidak terurus.

"Bukan saya tidak berusaha ke arah itu tetapi jika saya seorang yang beria-ia, isteri buat tidak kisah, buat apa?

"Sekarang keadaan semakin runcing. Isteri asyik berjalan makan angin, sekejap dalam negeri sekejap luar negara. Dia lebih suka melayan kawan-kawan kerjanya daripada saya dan anak-anak.

"Tidak salah pergi berjalan tetapi mesti ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Uruskan rumah tangga dulu, susun atur perabot yang lintang pukang dalam rumah agar saya yang ada dalam rumah boleh bernafas!

"Sesekali fikir saya merasa pelik kenapa isteri saya berperangai macam itu. Rupanya dalam dunia ini ada juga perempuan yang pemalas dan tidak suka mengemas.

"Sekarang saya lebih banyak pulang ke rumah ibu daripada di rumah. Saya penat dan mahu ketenangan. Di rumah ibu, saya merasa tenang dan aman. Pernah juga ibu menegur isteri saya tetapi dia langsung tidak peduli.

"Jangan kata mengemas, memasak juga jarang dia buat. Yang dia tahu makan, tidur dan berjalan.

"Kasihan anak-anak kami yang terpaksa makan makanan di luar atau di rumah ibu. Entah di mana silapnya sehinggakan Aida jadi pemalas begitu sekali.

"Ramai yang hairan bagaimana saya masih boleh bersabar dengan perangai isteri macam itu. Jika diturutkan naluri seorang lelaki, saya layak untuk mencari pengganti dan telah lama berbuat demikian.

"Tetapi saya sayangkan anak-anak yang tidak berdosa, malang bagi mereka kerana mempunyai ibu yang malas.

"Anak sulung saya seorang perempuan dan masih di bangku sekolah rendah sering bertanya kepada ibunya, kenapa rumah kita tidak secantik rumah jiran.

"Anda tahu apa jawapan ibunya, Mama penat!.. Sepatutnya jawapan yang paling tepat adalah mama malas!.

"Saya mahu dia faham falsafah kehidupan dalam suasana persekitaran yang bersih dan sihat. Semoga Allah akan membuka pintu hati Aida untuk berubah.

"Saya juga mengharapkan saya boleh bersabar dengan kerenah Aida. Jika tidak saya pasrah kepada ketentuan Allah SWT," keluh Zaidi menamatkan ceritanya.

Saya mengucapkan syabas kepada Zaidi kerana berani meluahkan perasaannya ke ruangan ini. Saya percaya ramai lagi suami yang menghadapi masalah seperti Zaidi tetapi enggan berkongsi masalah mereka.

Saya berharap Zaidi akan terus bersabar dan membimbing isterinya untuk kembali kepada tanggungjawabnya. Anggaplah ini juga sebagai ujian dalam rumah tangga.

Masih belum terlambat untuk anda membetulkan keadaan. Berterus terang dan membimbing adalah cara terbaik menangani masalah ini.

Anda harus menerima diri Aida seadanya, ertinya segala kelemahan dan kekurangan dirinya hendaklah diterima dengan reda. Itu sudah ketentuan jodoh anda.

Pada masa yang sama, sebagai suami anda perlu bertindak lebih tegas. Cadangan saya ambil cuti panjang dan bergotong royong mengemas dan membersihkan rumah bersama anak-anak.

Menamatkan catatan, pesanan saya seorang suami akan merasa tenang andai isterinya menjadi seorang yang penurut dan boleh menyejukkan hatinya di kala dia gundah. Realitinya, kehadiran wanita di dalam hidup seorang lelaki, ibarat matahari yang tidak pernah terbenam.

Top