KLANG - Matanya buta. namun hatinya terang. Disebabkan itu, Hendon Satari @ Suradi, 75, masih mampu melakukan apa yang tidak mampu dilakukan orang lain apabila dalam keadaan buta dan lanjut usia. Dia masih menyorong gerainya sejauh 200 meter hampir setiap hari untuk menjual makanan ringan bagi menyara kehidupannya.
Bagi ibu tunggal tiga anak yang berniaga di Jalan Hassan, Kampung Sungai Udang, di sini, walaupun tidak boleh melihat, ia bukan halangan untuk dia mencari sesuap nasi tanpa meraih simpati orang lain.
"Walaupun mata buta, alhamdulillah hati mak cik terang apabila seperti dapat melihat dan kadang-kadang mak cik boleh naik bas seorang diri ke pekan berhampiran untuk mencari barang keperluan harian dan sebagainya.
"Syukur, dalam usia sebegini mak cik dikurniakan kesihatan yang baik apabila doktor juga mengesahkan tidak menghidap sebarang penyakit hanya kadang-kadang demam namun itu perkara biasa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Surau Al Shukriah, Kampung Sungai Udang, di sini, pagi tadi.
Kisah Hindon sebelum ini ‘viral’ di laman sosial dan ramai yang simpati dengan nasibnya. Menurutnya, dia masih mencari rezeki bersendirian kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.
“Mak cik tak nampak nak...tapi mak cik tak mahu menyusahkan orang lain mahupun anak sendiri. Selagi dikurniakan kesihatan yang baik, mak cik tak kisah untuk menyorong gerai kecil dan usang ini untuk berniaga.
"Kadang-kadang makcik pun tak larat memandangkan faktor usia dan kudrat yang semakin tidak mengizinkan tapi nak buat macam mana, nak tak nak mak cik kena berniaga kalau tak siapa nak bagi mak cik makan.
"Kalau musim hujan habis basah kuyup. Makcik dah biasa semua itu dan kalau boleh memang tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada anak kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab lain," katanya.
Menurutnya, setiap Isnin hingga Jumaat dia bangun seawal 6.30 pagi membuat persiapan berniaga sebelum membuka gerai seawal 7.30 pagi kecuali Sabtu dan Ahad.
"Mak cik beli gerai bergerak dengan harga RM300 dan tumpangkan gerai itu di sebuah kedai runcit. Selalunya dari rumah mak cik akan ke gerai runcit itu menaiki bas sebelum menyorong gerai kecil itu hampir 200 meter ke lokasi berniaga iaitu di tepi jalan berhampiran sekolah tadika.
"Mak cik beli makanan ringan secara borong di sebuah pasar raya di Klang dengan modal RM20 dan kemudiannya menjualnya kepada penduduk di sini terutama pelajar sekolah.
"Pendapatan mak cik tidak menentu bergantung kepada pelanggan. Sehari boleh dapat RM3 hingga RM5 tapi pernah juga tak ada pelanggan. Untung atau rugi itu tidak penting asalkan rezeki itu datang hasil titik peluh sendiri dan bukannya meminta sedekah atau meraih simpati orang lain," katanya.
Hendon berkata, dia tinggal bersama anak perempuan dan lima cucu dan mula berniaga kecil-kecilan sejak lebih 20 tahun lalu selepas kematian suaminya, Tuni Minhad.
Katanya, walaupun ketiga-tiga anaknya bekerja dan ada yang menetap di Melaka dan Pulau Indah, dia tidak mahu menyusahkan mereka yang juga mempunyai tanggungjawab lain selain masih boleh berdikari sendiri.
"Selain hasil berniaga makanan ringan itu mak cik juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sebanyak RM350 sebulan.
"Wang itu mak cik kumpul untuk modal berniaga selain usaha untuk mendapatkan gerai yang lebih selesa namun ia masih belum mencukupi," katanya yang boleh dihubungi menerusi nombor telefon 0123979505.
Hendon turut menerima lawatan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menghulur bantuan wang tunai bagi meringankan beban ditanggung wanita warga emas itu.
Sementara itu, Pengurus LZS Daerah Klang, Saiful Anuar Abdullah Saleh berkata, bantuan berbentuk kewangan itu adalah untuk sara hidup sementara waktu dan LZS akan menilai semula bantuan yang boleh diberikan memandangkan wanita warga emas itu tinggal bersama salah seorang anaknya dan lima cucu.
"Pihak kami akan mengkaji pendapatan isi rumah terlebih dulu dan seterusnya akan mempertimbangkan bantuan yang layak diberikan kepadanya.
"Sebelum ini memang LZS ada memberi bantuan tetapi apabila dimaklumkan di bawah tanggungan anaknya pihak kami membawa perkara itu kepada JKM.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan mempertimbangkan semula jenis bantuan yang boleh diberikan bergantung kepada syarat yang ditetapkan LZS.
"Kami juga sentiasa berhubung dengan wanita warga emas itu untuk perkembangan dari semasa ke semasa termasuk tahap kesihatannya," katanya. - HARIAN METRO